Thursday, October 25, 2007

PENGENALAN TUMBUHAN PAKU–PAKIS

Tumbuhan paku–pakis (pteridofit) merupakan vegetasi dan tumbuhan dedaun. Ia merupakan golongan tumbuhan yang mempunyai ciri–ciri khas iaitu pada pucuk daun muda terdapat satu gelungan tali yang dikenali sebagai krozier. Ciri lain yang nyata ialah kesemua paku–pakis menghasilkan spora yang terbentuk di dalam sporangium. Sporangium ini berkumpul membentuk tompok–tompok di bahagian hujung, permukaan ataupun tepi daun. Kumpulan sporangium ini dikenali sebagai sorus. Susunan dan bentuk sorus berbeza–beza bergantung kepada spesies paku–pakis tersebut.

Secara amnya, tumbuhan paku–pakis dibahagikan kepada dua kelompok utama iaitu paku–pakis primitif yang berstruktur ringkas (fern–allies) dan paku-pakis sejati (true–fern). Pada paku–pakis primitif akarnya hanya berupa rizoid (cth. Psilotum), berbatang kecil dan umumnya berwarna hijau kerana memiliki klorofil sehingga dapat membantu proses fotosintesis dan daunnya hanya berupa sisik dengan satu vena daun sahaja. Manakala pada paku–pakis sejati, pembahagian antara akar, batang dan daun tampak jelas. Ketiga–tiga organ tersebut telah mencapai kesempurnaan yang tinggi.

Sebilangan besar paku–pakis tumbuh liar terdapat di sekitar kita. Di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 500 spesies paku–pakis liar yang telah dikenal pasti. Paku–pakis ini ada juga yang dimakan dan ia lebih dikenali sebagai Athyrium esculentum. Di samping itu, terdapat juga paku–pakis liar yang dipercayai mempunyai khasiat perubatan. Nenek moyang kita dahulu sudah menggunakan pelbagai spesies paku–pakis sebagai ubat–ubatan tradisional untuk mengubati penyakit kulit, luka dan sakit perut. Ada juga yang boleh digunakan sebagai penahan darah dan penyubur rambut. Kini paku–pakis telah dijadikan sebagai tumbuhan perhiasan, antaranya ialah Lycopodium, Asplenium, Playcerium dan sebagainya.

Tumbuhan pteridofit tersebar luas ke seluruh dunia, kecuali di bahagian kutub yang sentiasa dilitupi ais. Kira–kira 75% spesies ini terdapat di kawasan tropika, hampir tropika dan juga kawasan pergunungan yang berhampiran dengan kawasan tropika. Spesies yang hanya terdiri daripada bahagian batang yang berwarna hijau iaitu tanpa akar dan daun sejati ditemukan pada genus Psilotum, hingga kepada genus Cyathea yang mempunyai akar sejati dan berdaun tebal, batang sempurna dan menyerupai batang pohon palma. Untuk menentukan variasi panjang atau tinggi paku–pakis dimulai dengan spesies yang berukuran kurang daripada 2.5cm seperti pada paku–pakis air dari genus Azolla hingga kepada spesies yang mencapai ketinggian 30m seperti paku–pakis Cyathea dan Dicksonia .

BINAAN DAUN PAKU – PAKIS

Terdapat dua jenis daun paku–pakis, yang pertama dinamakan sebagai daun mikrofil yakni daun yang berbentuk sisik dengan ukuran yang sangat kecil umumnya kurang daripada 1 cm panjangnya. Jenis daun mikrofil ditemukan pada paku–pakis seperti pada genus Psilotum, Lycopodium, Selaginella dan Equisetum. Khusus pada Psilotum dan Equisetum daunnya mengalami pengurangan dari segi bentuk dan fungsi sehingga bentuknya menjadi sangat kecil dan tidak menjalankan fungsi fotosintesis.

Jenis kedua dikenali sebagai daun makrofil, iaitu daun yang mempunyai ukuran lebih besar daripada daun mikrofil dan mempunyai susunan yang lebih kompleks dengan pelbagai variasi dan aktif bagi berbagai–bagai fungsi fisiologi seperti pada daun tumbuhan peringkat tinggi. Ia terdapat dalam bentuk tunggal atau majmuk iaitu permukaan daunnya (lamina) tidak terbahagi kepada segmen–segmen yang terpisah malahan dihubungi kepada batang atau rizom melalui suatu tangkai sama ada panjang atau pendek. Contoh Vittaria, Ophioglossum, Antrophyumi, Salvinia dan lain–lain. Daunnya terdapat dalam sifat pinat, bipinat, tripinat, kuadripinat dan seterusnya.

PEMBIAKAN PAKU – PAKIS

Spora, Sporangium dan Sorus

Spora adalah struktur pembiakan halus yang dihasilkan oleh paku–pakis. Terdapat pelbagai bentuk spora, antaranya bulat, pipih (monolete), segitiga (trilete) dan sebagainya. Untuk melihat struktur spora tersebut, mikroskop elektron pengiaman (Scanning Electron Microscope) digunakan.

Sporangium pula merupakan kapsul yang berbentuk kanta dwicembung. Dinding sporangium terdiri daripada satu atau beberapa lapisan sel, kecuali pada bahagian tepinya terdapat suatu lapisan sel berdinding tebal yang mengelilingi sebahagian kapsul yang dinamakan anulus. Pada bahagian hujung lingkaran terdapat satu kumpulan sel yang pipih yang dikenali sebagai stomium. Apabila sporangium masak sel stomium akan pecah dan membebaskan spora yang terdapat di dalamnya.

Sorus merupakan satu untaian (nama khasnya spika) seperti yang ditemui pada Ophioglossum, atau berbentuk garis panjang seperti pada genus Pteris atau yang bulat seperti genus Phymatodes. Kedudukan dan susunan sorus amat penting kerana ia bakal menentukan genus dan spesies paku–pakis.

Indusium

Indusium adalah suatu lapisan pelindung untuk melindungi sporangium terutama yang masih muda. Ada sorus yang tidak dilindungi oleh indusium yang dikenali sebagai sorus yang telanjang. Sementara yang dilengkapi dengan indusium terdapat dua jenis. Jenis yang pertama dinamakan indusium sejati yang mana lapisan tisunya berupa penutup melengkok terdiri daripada dua ruangan dengan bahagian tengah berhubungan dan mengikatkannya kepada permukaan daun. Manakala lapisan pelindung yang hanya berupa pelebaran dari bahagian tepi daun yang bengkok dinamakan indusium palsu.

Ekologi Paku–pakis

Ekologi paku–pakis dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ialah cahaya, hujan, angin, perubahan suhu dan tumbuhan lain yang berada di sekitarnya. Secara amnya terdapat enam golongan paku–pakis dikenal pasti berdasarkan faktor–faktor di atas:

¨ Paku–pakis terestrial di kawasan terdedah

Golongan ini mudah dijumpai sama ada tumbuh secara bersendirian atau berbentuk gerombolan atau semak besar. Contoh yang hidup bersendirian ialah Blechnum orientale dan Pityrogramma, sementara yang tumbuh bergerombolan pula ialah resam Dicranopteris linearis, tumbuh di kawasan tanah gersang dan kering ialah Cyclosorus gongylodes. Manakala yang memanjat ialah Lygodium, namun akarnya masih menjalar di bawah tanah.

¨Paku–pakis terestrial di kawasan terlindung

Secara keseluruhannya, tumbuh–tumbuhan ini memiliki daun yang lebih nipis jika dibandingkan dengan tumbuhan paku–pakis di kawasan yang terdedah. Sebahagian besar paku–pakis ini dijumpai berhampiran dengan tepi–tepi sungai di dalam hutan primer. Walaupun sesetengah daripadanya menghasilkan rizom yang menjalar tetapi ia tidak membentuk kelompok besar (gerombolan) seperti Gleichenia Dicranopteris atau Nephrolepis.

¨Paku–pakis memanjat

Golongan ini mempunyai rizom yang menjalar di atas tanah dan apabila menemui pohon–pohon yang besar maka ia akan terus memanjatnya. Kadang-kadang akar bermula pada dasar atau pangkal pohon–pohon dan kemudian akan memanjatnya. Contoh paku–pakis jenis ini ialah Bolbitis heteroclita yang biasanya menjalar di tebing–tebing sungai dan apabila menjumpai pohon–pohon kecil ia akan terus memanjatnya.

¨Epifit

Ia hidup di atas pohon–pohon lain tetapi bukannya tumbuhan parasit kerana ia hanya berpaut pada kulit kayu untuk mengumpul makanan dan air yang diperlukan. Akar paku–pakis epifit ini jarang menjejaki tanah kerana ia biasanya diselimuti oleh tumbuhan lumut. Lumut ini sedikit sebanyak membantunya mengumpul air dan humus sebagai sumber nutrien. Spesies jenis ini juga mempunyai cara–cara tertentu untuk mengumpul humus misalnya pembentukan bakul yang besar seperti yang ditunjukkan oleh Asplenium nidus dan Aglamorpha sp.

Paku–pakis epifit dibahagikan kepada dua jenis iaitu

= Epifit di kawasan terlindung

Jenis ini didapati pada bahagian bawah pohon–pohon hutan misalnya dari fern dalam famili Hymenophyllaceae. Tumbuhan ini mempunyai cabang dan daun yang nipis. Contoh lain ialah Antrophyum .

= Epifit di kawasan terbuka

Jenis paku–pakis ini mendapat cahaya yang penuh mahupun separa. Udara di sekelilingnya kering dengan tiupan angin yang kuat. Justeru itu tumbuhan jenis ini memerlukan rizom yang kuat dan akar yang banyak untuk menyerap air seperti pada Asplenium nidus. Begitu juga dengan paku–pakis Platycerium dan Drynaria yang mempunyai daun steril untuk membentuk bakul besar bagi menangkap humus untuk sumber nutriennya.

¨Paku–pakis batu–batan dan pinggiran sungai

Golongan ini hidup di kawasan berbatu dan tebing sungai yang berbatu sahaja. Ia mendapatkan air dari udara yang mempunyai kelembapan tinggi di tepi–tepi sungai itu. Rizomnya menjalar kuat di permukaan batu dengan akar yang banyak. Contohnya ialah Dipteris lobbiana, Lindsaya lucida, Pyrrisia perangium dan lain–lain.

¨Paku–pakis akuatik

Terdapat dua famili paku–pakis akuatik iaitu Salviniaceae dan Marsileaceae yang sukar untuk dikenali sebagai tumbuhan paku–pakis dalam pandangan yang sekilas sahaja. Terdapat juga beberapa paku-pakis yang menghuni paya atau lopak air misalnya Acrostichum aureum dan Ceratopteris thalictroides .

Kitar hidup–pakis dan penyimpangannya .

Paku–pakis pada umumnya mempunyai kitar hidup dengan perselangan dua jenis generasi:

iGenerasi tanpa seks

Ia dikenali sebagai sporofit yang berupa tumbuhan paku–pakis yang dapat dibezakan antara akar, batang dan daun . Generasi tanpa seks ini disebut generasi yang diploid.

iGenerasi seks

Generasi seks adalah gametofit yang berasal dari sporofit sehingga gametofit ini bersifat haploid. Gametofit ini akhirnya akan membentuk gamet jantan (anterozoid) dan gamet betina (sel telur).

Farlow (1874) berpendapat bahawa gametofit dapat membentuk sporofit tanpa persenyawaan gamet dan dikenali sebagai Apogami oleh De Bary (1878) contohnya pada Tectaria foliata.

Manakala Druery (1885) menyatakan sporofit dapat membentuk gametofit tanpa spora terlebih dahulu dan ini dikenali oleh Bower (1885) sebagai Apospori. Contohnya Athyrium filix–foemina yang ditemui oleh Druery. Gametofit akan menghasilkan anteridium dan arkegonium yang dikenali sebagai gametangium.

Jenis paku – pakis

Divisi Pteridophyta
Famili Schizaeceae
Lygodium microphyllum R. Br. (Ribu–ribu)

Paku–pakis jenis ini amat mudah dijumpai. Ia tumbuh dengan merambat pepohon lain di tempat yang terdedah dengan cahaya matahari. Ia menyerupai paku–pakis Lygodium flexuosum tetapi ukuran daunnya lebih kecil dan berwarna hijau pucat.

Famili Matoniaceae

Matonia pectinata R. Br.

Paku–pakis jenis ini ditemui di kawasan pergunungan misalnya di Gunung Ledang, Tanah Tinggi Genting dan Gunung Tahan. Sistem percabangan pada daun Matonia menyerupai Gleichhenia. Namun yang membezakannya ialah percabangan menggarpu Matonia lebih sempurna dan tidak terdapat pucuk dorman pada celah–celahnya yang dilindungi oleh indusium. Rizomnya tumbuh menjalar dan ditutupi oleh rambut berwarna coklat yang berkilat.

Famili Marattiaceae

Angiopteris angustifolia Presl. (Paku gajah)

Paku–pakis ini berukuran lebih besar dan mencapai ketinggian 6m. Tumbuhan ini hanya dijumpai di kawasan tanah tinggi sahaja misalnya di Bukit Fraser. Ia menghuni tempat yang lembap seperti tebing sungai atau anak air di dalam hutan tebal.

Famili Osmundaceae

Osmunda javanica Bl .

Paku–pakis jenis ini mempunyai taburan yang luas di seluruh dunia. Ia biasanya berada di aras lebih 1000m dari laut. Habitatnya merupakan kawasan lembap atau pinggiran sungai yang mempunyai ketinggian kira–kira 1200 m ke atas aras laut dan terlindung. Batangnya pendek, kuat dan tumbuh tegak.

Famili Cyatheaceae

Cyathea contaminans (Hook) Copel. (Paku pohon)

Paku pohon ini merupakan spesies yang paling mudah didapati di kawasan tanah tinggi kira-kira 1000m dari aras laut. Ia juga mudah dikenali kerana pelepahnya yang mudah tanggal meninggalkan bekas pada batangnya .Batang paku pohon diselimuti oleh akar yang mati berselirat seperti dawai dan biasanya kulit batang ini diperdagangkan untuk pemindahan anak benih tanaman orkid. Tangkai fronnya yang panjang, menjunjung lamina. Paku – pakis ini lebih berjaya membiak secara vegetatif iaitu melalui pertumbuhan panjang rizomnya yang kemudian akan terputus secara mekanisme misalnya akibat arus kencang, terpotong dan lain-lain, maka terbentuklah individu tumbuhan yang baru.

Famili Adiantaceae

Ceratopteris thalictroides ( L . ) Briongn

Keseluruhan tumbuhan ini berwarna hijau. Rizomnya pendek, tegak mengeluarkan segerombolan akar yang lembut berwarna putih. Bahagian pangkal stip besar, kira – kira 1 cm tebalnya dan semakin mengecil ke bahagian hujung. Sporangium terdapat dalam sorus yang memanjang iaitu di atas vena.

Famili salviniaceae

Salvinia cucullata Roxb .

Ia merupakan paku – pakis akuatik yang aneh kerana tidak memiliki akar. Ia biasanya menempati bendang padi, kolam, longkang atau tali air. Rizomnya berbulu, tidak berakar, panjang dan terapung di atas permukaan air. Dari rizomnya itu keluar tiga kelompok daun, dua kelompok menyerupai daun yang berwarna hijau sementara kelompok yang ketiga terbenam di dalam air membentuk segmen – segmen yang terdiri daripada organ yang seperti akar .

Famili Dennstaedtiaceae

Oleandra pistillaris (Sw. ) C. Chr .

Paku–pakis ini amat mudah dikenali kerana daun–daunnya yang tumbuh berjambang mengelilingi batang. Batangnya tumbuh tegak dan diselimuti oleh sisik yang berwarna coklat dan bercabang–cabang. Setiap daun tidak bertangkai dengan tepi daun berombak. Sporangiumnya terdapat di dalam sorus yang berbentuk barisan di kiri kanan vena utama di permukaan bawah daun. Sorus tidak dilindungi oleh indusium.

Famili Polypodiaceae

Drymoglossum piloselloides ( Linn . ) Presl (Duit – duit, sakat ribu – ribu, sisik naga)

Paku – pakis epifit ini mudah dijumpai di atas pohon – pohon yang besar dan tua. Batangnya mempunyai rizom yang halus menjalar dan dilitupi oleh sisik – sisik kecil Sporangiumnya terkumpul dalam sorus yang mengelilingi hampir keseluruhan tepi daun fertil. Sesetengah petani terutamanya di Melaka mempercayai air tumbukan daripada paku- pakis ini apabila dicampurkan dengan buah kundur dapat membunuh dan mengusir pianggang iaitu sejenis serangga yang merosakkan padi yang baru mula berbuah.

Famili Azollaceae

Azolla pinnata R. Br.

Spesies paku – pakis ini amat aneh kerana bentuk dan ukurannya yang sangat kecil berbanding dengan paku – pakis yang lain. Tumbuhan ini mudah dijumpai di kolam air dan bendang padi. Rizomnya halus, panjang 2 cm dan darinya keluar dua barisan daun, dan akar yang mengarah ke dalam air. Ia biasanya dijumpai dengan banyaknya dalam takungan air yang akan menyebabkan air berwarna kuning kehijauan. Kehadiran spesies ini di sawah padi menguntungkan kerana ia hidup bersimbiosis dengan sejenis rumpai air Anabaena yang dapat mengikat gas nitrogen.

Divisi Microphyllophyta

Famili Lycopodiaceae

Lycopodium phlegmaria L.

Paku – pakis ini dijumpai di kawasan tanah rendah di dalam hutan tebal. Ia akan bergantungan di celah – celah dahan yang besar, lembap dan kaya dengan humus Rizomnya menjalar di kulit kayu pohon – pohon lain yang berhumus terutamanya di celah cabang. Daun – daunnya yang kecil berbentuk segitiga dengan bahagian yang rata dan lebar melekat pada cabang pokok kayu .Ia hanya mempunyai satu vena sahaja yang terletak di bahagian tengah. Sporangiumnya terkumpul di dalam strobilus di bahagian hujung cabang dan terletak di celah daun fertil yang lebih kecil. Ia sering ditanam sebagai tumbuhan perhiasan yang sangat menarik.

Famili Selaninellaceae

Selaninella wallichii ( Hk . & Gr . ) Spring

Paku – pakis ini tumbuh melata tetapi tegak. Ia banyak didapati di pinggir hutan dan lantai hutan yang tidak terlalu redup. Paku – pakis herba ini kerap tumbuh berkelompok membentuk koloni yang homogen. Percabangan yang terbentuk dikenali sebagai jenis psedopinat. Sporangiumnya terkumpul pada bahagian hujung anak cabang membentuk sorus yang dinamakan strobilus. Strobilus ini berbentuk tetragon.

Divisi Arthrophyta

Famili Equisetaceae

Equisetum debile Roxb . ( Paku ekor kuda )

Paku – pakis herba ini hidup di dalam bermacam – macam habitat, khasnya di kawasan berpasir di pinggir sungai, tasik atau lombong. Biasanya ia tumbuh tegak dengan ketinggian kira – kira 1.5 m. Daunnya hanya merupakan sisik yang tidak berwarna dan tumbuh berkarang di bahagian buku batang dan melekat di antara satu dengan yang lain bagi membentuk saluran yang memanjang. Sejak dahulu lagi tumbuhan ini telah digunakan untuk mencuci pinggan mangkuk atau barang – barang porselin kerana terdapatnya silika di dalamnya.

Divisi Psilotophyta

Famili Psilotaceae

Psilotum complanatum Sw .

Spesies ini mempunyai taburan pantaropika tetapi amat sukar untuk ditemui .Di Semenanjung Malaysia ia hanya ditemui di Selangor, Perak dan Pahang sahaja mulai dari kawasan tanah rendah hingga pada paras ketinggian 1000 m dari aras laut. Psilotum complanatum khasnya adalah paku – pakis jenis epifit dan biasanya dijumpai dalam kebun kelapa sawit yang tumbuh menjuntai pada pelepah daun.

No comments: